Friday, March 13, 2009

Rasional Memoir Kematian


Salam pengunjung yang dihormati dan dikasihi sekalian,
Salam takziah kepada yang kehilangan ahli keluarga tercinta.

Diriku terpanggil untuk membuka laman MEMOIR KEMATIAN setelah memikirkan keperluan dan ketertibannya apabila semua cerita yang berkaitan kematian diluahkan di satu pusara yang kemas. Akan kubuka laman ini untuk semua rakan yang mempunyai kisah tragis, sedih dan pilu berkaitan pemergian seseorang yang disayangi mahupun yang tidak dikenali.

Ceritakan semuanya untuk tatapan bersama agar menjadi pedoman dan renungan kita.

Imbas kembali saat-saat sebelum, sewaktu dan sesudah pemergian mereka. Andai pengalaman cuma sekadar melihat insan yang pergi menghadap Illahi di tepi kaki lima, itu juga harus kita takziahkan..

Cerita boleh saja di dalam bentuk lakaran biasa, cerpen, sajak mahupun rencana yang berkaitan kematian yang menarik untuk ditatap bersama. Pasti, dalam berjuta umat di dalam talian, sudah tentu pelbagai laman dan cerita mengenai kematian telah dipersembahkan, namun ianya tetap tidak lari dari tujuan yang sama.

Barangkali ada yang berkata kenapa MEMOIR KEMATIAN kerana ianya agak kasar? Telah kufikirkan beberapa nama, antaranya MEMOIR KEPULANGAN dan MEMOIR PEMERGIAN. Namun ianya tidak begitu mencengkam.

Untuk semua dan juga untuk diriku yang sebenarnya agak jarang mengimbas makna 'kematian', kerana sering berhalus untuk melembutkan kata, aku beranikan untuk lebih kasar agar aku sendiri lebih berani mencari dan berkongsi bersama anda semua di luar sana!

Curahkan khabar, kesedihan, kengerian dan apa sahaja dari pemergian makhluk Allah kepadaNYA.

Semoga hidup kita akan lebih indah dengan 'mengintai' mereka yang telah mendahului.

Untuk menulis , khabarkan kepadaku email kamu, akan ku tambah senarai penulisnya di sini.

Salam.

No comments:

Post a Comment

Jangan pergi tanpa ucapan takziah atau sebarang doa mahupun kata biasa. Tenangkan roh mereka atau anda tidak akan tenang nanti.. :)